Sesiapa saja yang selalu masak lauk berempah mesti tahu betapa pentingnya lengkuas dalam masakan. Kali ini, kami nak kongsikan cara menyimpan lengkuas supaya tahan lama.
Apabila sudah beli satu ketul lengkuas yang besar, selalunya kita hanya guna sedikit saja. Akhirnya, baki lengkuas itu lama-lama akan menjadi kering, keras dan susah dipotong.
Betapa ruginya apabila lengkuas sudah tak boleh dipakai lagi. Nak buang pun sayang sebab kita tahu harganya bukan murah, tambahan pula apabila susah nak cari yang elok di pasar.
Jangan risau, ada satu cara mudah yang boleh kita cuba untuk pastikan lengkuas tahan lama, kekal segar, lembut dan senang dipotong apabila nak guna. Jom kita tengok caranya!
CARA MENYIMPAN LENGKUAS
1. Mula-mula, ambil lebihan lengkuas dan bersihkan daripada tanah atau habuk.
2. Selepas itu, masukkan lengkuas ke dalam balang kaca yang bersih.
3. Kemudian, tuangkan air sampai lengkuas tenggelam sepenuhnya.
4. Seterusnya, tutup balang yang sudah diisi dengan lengkuas dan air dengan kemas.
5. Setelah itu, boleh simpan balang dalam peti sejuk.
6. Pastikan untuk tukar air apabila nampak keruh (sekali seminggu pun sudah memadai).
Setelah menggunakan cara menyimpan lengkuas ini, tak adalah lagi masalah lengkuas keras macam batu apabila dipotong. Masak pun jadi cepat sebab tak perlu nak ketuk-ketuk dengan lesung batu dulu.
Semoga bermanfaat!
Sumber: Suria Ismail
