Nak buat lauk paling serasi dengan nasi putih yang panas, semestinya cara masak Daging Dendeng ini jadi pilihan. Sekali suap dengan sambal pedasnya, pasti tak sedar bertambah nasi nanti.
Cara masak Daging Dendeng oleh Nurul Suhaida Azizan di Facebook ini sesuai buat anda yang nak simpan lauk tahan lama. Semakin lama diperap dengan kicap, semakin padu rasanya. Jom kita cuba!
CARA MASAK DAGING DENDENG
Bahan-bahan:
- ½kg daging
- Kicap manis (untuk perap)
- 3 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- ½ sudu makan biji ketumbar
- 2 batang cili merah besar
- 10 batang cili api hijau atau merah (ikut selera)
- 2 helai daun limau purut
- 1 biji bawang merah
Cara-cara memasak:
1. Mula-mula, rebus daging sampai empuk (guna daging tempatan lagi sedap).
2. Selepas itu, hiris nipis daging dan tumbuk bagi leper.
3. Perap daging dengan kicap, bawang putih (tumbuk), halia (tumbuk) dan biji ketumbar (tumbuk). Perap 10 minit atau lebih lama.
4. Kemudian, goreng daging sampai garing (jangan risau jika nampak hitam sikit) dan toskan.
5. Seterusnya, kisar kasar cili merah besar, cili api dan bawang merah.
6. Setelah itu, tumis bahan kisar sampai garing dan masukkan daun limau purut.
7. Kemudian, perasakan dengan gula dan garam.
8. Akhir sekali, masukkan daging goreng dan gaul rata. Siap untuk dihidang!
Makan dengan nasi panas-panas memang nikmat, sekali rasa memang susah nak berhenti. Lauk ini jika simpan lama pun tak mudah rosak, sesuai untuk buat stok lauk kat rumah.
Selamat mencuba!
Sumber: Nurul Suhaida Azizan
