Hari ini, saya nak kongsikan resipi kuih talam keladi berlauk udang dengan sos cili dan sos kicap taucu yang saya buat tempoh hari untuk kakak saya yang mengidam. Dia telah menyatakan hasratnya awal-awal lagi iaitu sebulan sebelum dia balik dan berjumpa dengan saya. Katanya dia teringin untuk makan kuih talam keladi berlauk yang saya pernah buat suatu ketika dahulu. Sebenarnya, saya pun sudah lama sangat tak buat kuih ini. Kuih talam ini juga sangat sukar untuk dijumpai dan dijual di mana-mana melainkan jika berhasrat untuk membeli seloyang daripada pembuat kuih talam.
Resipi ini merupakan hasil olahan resipi kuih talam berlauk yang saya pernah kongsikan ketika bulan Ramadan semasa PKP pada bulan April 2020 dahulu dan telah mendapat maklum balas yang baik daripada rakan-rakan media sosial yang telah mencuba. Resipi asalnya pula adalah dari buku Kuih Talam Langkah Demi Langkah oleh Pn. Noraini Zakaria yang saya beli suatu ketika dahulu (2017).
Resipi asalnya dibuat dalam loyang tetapi saya menggunakan acuan lompang supaya lebih mudah untuk semua orang di rumah saya ambil dan makan. Kali ini, saya masukkan kesemua inti/lauk yang disediakan ke dalam adunan tepung kerana saya mahu cepat untuk menyiapkan kuih talam ini (rujuk nota).
Bagi resipi sos cili, saya hanya olah semula resipi sos cili nasi ayam yang pernah saya kongsikan sebelum ini. Cuma, kali ini saya tambahkan sedikit larutan tepung jagung supaya sosnya lebih pekat. Bagi resipi sos kicap taucu pula, saya rujuk dan olah semula resipi sos kicap yang dikongsikan oleh Puan Kak Wan (Citarasawan).
Resipi ini menghasilkan potongan/bilangan kuih yang banyak dan menggunakan loyang 10x10x2 inci (60-64 biji acuan lompang kecil). Jika rakan-rakan mahu membuat sedikit sahaja, bolehlah buat 1/2 dari resipi ini dan menggunakan loyang 7x7x2 inci (30-32 biji acuan lompang kecil). Kuih talam ini merupakan kuih talam ‘savoury’. Rasanya memang agak tawar dan sangat sedap jika dimakan bersama dengan 2 jenis sos yang disediakan. Percayalah. Selepas makan 1-2 ketul, pasti rasa tidak cukup dan ingin memakannya lagi.
Buat kakak dan rakan-rakan serta rakan-rakan media sosial, there you go. Inilah resipi penuh kuih talam keladi berlauk udang yang saya tunjuk tempoh hari. Selepas ini, bolehlah kalian cuba buat sendiri. Buat rakan-rakan yang teringin hendak membeli dan makan kuih ini hasil daripada air tangan saya, saya memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi hajat kalian. Insya-Allah, bukan sekarang tetapi mungkin suatu hari nanti jika panjang umur, saya akan cuba untuk buatkan. Selamat mencuba.
Bahan-bahan untuk 60-64 biji acuan lompang kecil/Loyang 10x10x2 inci).
Resipi Talam Keladi Berlauk Udang Dengan Sos Cili
Bahan Inti/Lauk Udang:
- 2 sdb minyak masak
- 2 sdb udang kering (cincang/ tumbuk)
- 400 g (2 cawan) udang (cincang kasar)
- 2 tangkai cili merah (hiris)*
- 1/2 cawan hirisan daun sup* + ekstra
- 1/2 cawan hirisan daun bawang* + ekstra
- 2/3 cawan bawang goreng (dari 10 ulas bawang kecil)* + ekstra
Bahan Adunan Tepung:
- 400 g (2 cawan) keladi yang telah dikupas kulit (potong dadu)
- 1250 ml (5 cawan) santan sederhana pekat
- 300 g (2 cawan) tepung beras**
- 60 g (6 sdb) tepung jagung**
- 60 g (6 sdb) tepung gandum**
- 2 sdt garam**
Bahan Sos Cili:
- 5 biji cili merah ***
- 5 biji cili padi merah ***
- 1 cawan air ***
- 1/4 cawan gula perang ****
- Secubit garam ****
- 1-2 biji limau nipis (ambil jusnya) ****
- 1 1/2 – 2 sdb tepung jagung + 1/2 cawan air (bancuh)
Bahan Sos Kicap Taucu:
- 2 sdb taucu *****
- 1 cawan air *****
- 1/4 cawan gula perang ******
- 2 sdb kicap masin ******
- 2 sdb kicap manis ******
- 1 sdb tepung jagung + 1/4 cawan air (bancuh)
Cara Penyediaan:
1. Inti/Lauk; Panaskan sedikit minyak masak. Goreng udang kering dan isi udang sehingga isi udang bertukar warna kemerahan. Tapis dan buang air yang terhasil (jika ada). Campurkan udang yang telah digoreng dengan bahan-bahan yang bertanda (*). Ketepikan.
2. Adunan Tepung; Kupas keladi. Potong kepada ketulan kecil. Kukus atau rebus sehingga empuk. Ketepikan. Panaskan santan sehingga suam (tidak perlu sehingga mendidih). Ketepikan.
3. Masukkan bahan-bahan yang bertanda (**) dan santan yang masih suam ke dalam mangkuk. Kacau rata dengan menggunakan ‘whisk’. Tapis adunan tepung sekiranya masih terdapat ketulan tepung yang tidak larut. Masukkan keladi yang telah direbus dan inti/lauk ke dalam adunan tepung yang telah disediakan. Kacau rata.
4. Oleskan acuan lompang dengan sedikit minyak masak. Masukkan 3-4 sudu besar adunan kuih ke dalam setiap acuan. Kukus selama 20 minit. Setelah masak, sejukkan kuih selama lebih kurang 1 1/2 – 2 jam. Keluarkan kuih dari acuan. Taburkan hirisan daun sup dan daun bawang serta bawang goreng. Sedia untuk dihidangkan dengan sos kegemaran.
5. Sos Cili; Kisar bahan-bahan yang bertanda (***). Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama dengan bahan-bahan yang bertanda (****). Masak sehingga mendidih dan hilang bau cili. Masukkan pula bancuhan tepung jagung. Kacau sos sehingga sebati dan mendidih sekali lagi. Tapiskan sos cili dan sejukkan (sos akan menjadi lebih pekat setelah sejuk).
6. Sos Kicap Taucu; Kisar bahan-bahan yang bertanda (*****). Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama dengan bahan-bahan yang bertanda (******). Masak sehingga mendidih. Masukkan pula bancuhan tepung jagung. Kacau sos sehingga sebati dan mendidih sekali lagi. Tapiskan sos kicap taucu dan sejukkan (sos akan menjadi lebih pekat setelah sejuk).
Nota: Boleh juga masukkan 1/2 dari inti atau lauk yang telah disediakan ke dalam adunan tepung. Selepas adunan dikukus sehingga 3/4 masak, taburkan baki inti ke atas kuih dan teruskan mengukus sehingga kuih masak sepenuhnya.
Sumber: Noor Ashikin Saerah




