Resepi Nasi Minyak Hujan Panas Wangi dan Sedap

Nasi Minyak Hujan Panas ni lama doh dok buat. Nasi ni lawan dengan Ayam Masak Merah, Kerutuk Telur, Kuah Dalca, Acar mentah, sambal belacan dan Papadom. Kalau ada yang berminat nak cuba abam sertakan resipinya sekali. Ok bereh deh.

Resipi Nasi Minyak Hujan Panas

Bahan-Bahan:

  •     Beras Basmathi Eco brown Sella Cream 4.5kg – Direndam 50 minit dan kemudian ditoskan air.
  •     Rempah 4 sekawan
  •     bwg besar 1 biji dimayang
  •     bwg putih 4 ulas dimayang
  •     daun pandan 4 helai disimpul
  •     minyak masak
  •     minyak sapi 1 tin kecil
  •     Kismis hitam dan kuning 2 kotak
  •     Susu cair 1 tin
  •     Sos tomato del monte 6 sb
  •     Garam
  •     Pewarna kuning telur 1 sb dan pewarna merah 1 sb serta pewarna hijau
  •     Halia 2 inci (dihiris nipis/diketuk)
  •     Kiub ayam 1 kiub
  •     Tomato puri 1 tik kecil
  •     Jus sunquick 3 sb
  •     Bawang goreng utk taburan selepas nasi masak.

Cara Membuat:

1. Panaskan periuk elektrik, masuk minyak masak dan minyak sapi dan tumis sampai naik baunya. Masukkan semua bahan tumis dan tumis sampai wangi. Masukkan dulu separuh je air dari sukatan beras. Bila air dah mendidih, masukkan beras yang ditoskan dan gaul rata.

2. Masukkan air, kalau beras Sella Cream ni, yang telah direndam, sukatan air dengan beras, air 1 ruas jari dari beras (setelah dimasukkan semua bahan). Masukkan halia, masukkan susu cair, sos tomato, kiub ayam, jus sunquick, dan tomato puri. Kacau rata. Air tu biar rasa terlebih masin sikit baru nasi kita ada rasa nanti.

3. Bila dah masak nasi tu, masukkan biji kismis. Bila nasi dah kering buat lubang kat nasi tu, masukkan pewarna dan biarkan lagi 20 minit. Balik-balikkan nasi tadi, tunggu 15 minit lagi untuk nasi masak dan kering sepenuhnya. Siap.

Bahan Acar Mentah:

  •     Timun 1 batang (dipotong)
  •     Lobak merah 1/2 biji (dipotong)
  •     Nenas sepotong (dihiris nipis)
  •     Bawang merah 2 biji
  •     Cili besar hijau dan merah 2 biji
  •     Cuka makan
  •     Garam gula secukup rasa

Cara Membuatnya: Mula-mula masukkan cuka, garam dan gula dalam satu bekas. Kacau sampai sebati. Kemudian masukkan semua bahan lain, kacau sebati. Jika rasanya sudah ada masam + manis dan sedikit masin, bolehlah dihidangkan.

Bahan Sambal Belacan:

  •     Cili besar merah 4 biji
  •     Cili padi 20 biji
  •     Belacan sebesar ibu jari (dibakar biar wangi)
  •     Limau kasturi 1 biji dibuang biji
  •     Garam
  •     Gula
  •     Pes Asam jawa 1/2 sudu
  •     Limau nipis 1 biji

Cara Membuatnya: Kisar semua bahan kecuali limau nipis. Air sedang-sedang, jangan terlalu sedikit atau banyak. Kisar jangan terlalu halus. Keluarkan, perah limau nipis dan rasa secukup rasa. Siap!.

Resepi Oleh: Muliadi Ramli