Kelmarin, saya buat bingka pandan atau orang Perak panggil bengkang pandan. Hari ni, baru datang sedikit kerajinan untuk saya menulis dan berkongsi resipi. Resipi bingka ni merupakan ‘keeper recipe’ saya. Resipi asalnya milik Kak @shiela.d.dapoq. Tapi, saya olah sedikit supaya kena dengan citarasa saya dan sesuai dengan saiz loyang yang saya gunakan. Masa bulan Ramadan, PKP tahun 2020, saya dah pernah kongsikan resipinya juga.
Saya ikut resipi dan semua tips yang Kak Shiela kongsikan dalam penulisannya di blog. Alhamdulillah menjadi dan yang paling saya suka, bingka saya tak ‘collapse’ di bahagian tengah selepas dikeluarkan dari ketuhar. Highly recommended recipe.
Macam biasa, bila bab kuih berperisa pandan ni, saya memang tak akan menggunakan perisa pandan/emulco dan pewarna makanan. Barulah rasanya kena dengan selera saya dan warnanya cantik. Jadi, saya akan menggunakan daun pandan yang agak banyak iaitu sekitar 7%-10% dari resipi yang saya buat. Dalam hal ni, saya boleh kesan kalau kuih tu diperbuat dengan menggunakan 100% pandan asli/campuran perisa pandan dan pandan asli/100% perisa pandan. Sounds complicated kan.
Itulah saya yang sebenar. Kalau boleh, semua benda yang saya buat kena bersukat dan ‘precise’. Anda kena cuba resipi bingka ni sebab hasilnya sangat sedap, ‘melt in mouth’ dan cantik. Bab penggunaan daun pandan tu pula, anda gunalah dalam 5-6 helai sahaja jika tiada daun yang banyak dan takut tak kena dengan citarasa. Bijan pun saya letak lebih sebab saya memang suka bingka yang ada banyak bijan di permukaannya. Selamat mencuba.
Resipi Bingka Pandan
Bahan-Bahan (Loyang 7x7x2 inci):
- 80 g (1/3 cawan) marjerin*
- 180 ml (3/4 cawan) santan*
- 180 ml (3/4 cawan) susu cair*
- 310 ml (1 1/4 cawan) jus pandan*
- 3 biji telur*
- 230 g (1 1/2 cawan) tepung gandum*
- 150 g (2/3 cawan) gula pasir* (saya guna 125 g)
- 1/2 sdt garam halus*
- Bijan putih secukupnya
- Marjerin secukupnya
Cara Penyediaan:
1. Cairkan marjerin. Masukkan bahan-bahan yang bertanda (*) ke dalam mangkuk. Kacau dengan whisk sehingga sebati. Boleh juga gunakan mesin pengisar. Kisar adunan sehingga sebati lebih kurang 30 saat. Oleskan marjerin disekeliling loyang. Alaskan dengan kertas pembakar. Tapis adunan ke dalam loyang.
2. Bakar di dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 150C – 160C, api atas dan bawah selama 70 minit atau sehingga kuih masak. Selepas 10 minit pertama, taburkan bijan ke atas bingka. Teruskan membakar sehingga masak. Pada 10 minit terakhir, ubah ketetapan ketuhar dengan menggunakan api atas sahaja bagi mendapatkan permukaan yang garing.
3. Setelah bingka masak dan masih panas, oleskan dengan sedikit marjerin pada permukaannya. Biarkan bingka seketika di dalam ketuhar yang direnggangkan pintunya sedikit. Tujuannya supaya permukaan bingka tidak terlalu ‘jatuh’. Sejukkan bingka (2 – 4 jam) sebelum dipotong dan dihidangkan.
Nota:
- Dalam resipi ini, saya menyukat bahan-bahan dengan menggunakan sukatan metrik.
- Saya menggunakan 100 g (15 helai) daun pandan.
- Boleh gantikan penggunaan susu cair dengan santan.
- Jika suka, boleh juga tambahkan sedikit kulit kayu manis semasa mengisar daun pandan.
Resipi Oleh: Noor Ashikin Saerah
