Menyediakan hidangan dihari cuti kadang kadang boleh jadi satu masalah dunia. Isi rumah bukan semua sama. Ada yang jenis bangun pagi bersama ayam. Ada yang bangun bersama gajah. Kalau dah bangun pun; ada yang jenis makan berat untuk sarapan, ada yang tengahari baru macam orang kebuluran, tak kurang juga yang konon acah acah nak diet tapi baru setengah hari tak kuat iman.
Kari ayamadalah antara lauk yang sesuai dimakan sepanjang hari. Kalau pagi boleh dimakan bersama roti. Kalau tengahari boleh dimakan bersama nasi, dipadankan dengan sayur dan sambal. Tapi kalau habis malas, ini saja pun dah ok. InsyaAllah sedap, tak bosan/muak. Bahan pun tak banyak dan senang nak dapat.
Bahan-Bahan:
- 1 ekor ayam bersaiz besar – dipotong kecil
- Serbuk rempah kari
Bahan Untuk Tumis:
- Bawang besar sebiji
- Daun kari setangkai dua
- Bawang putih (4 ulas)
- Halia (1 inci)
- Serbuk kari
- Cili kisar
Bahan Masuk Kemudian:
- Serai (4 batang)
- Tomato (2 biji)
- Air
Bahan Pes Rempah: Serbuk Kari saya suka gabungkan 2 jenis rempah ni.
- Kari Ayam/Daging Baba’s; 250g (tolak sikit sebab guna untuk lumur ayam tadi). Kalau guna yang pedas sedap juga. Biasa saya guna yang pedas kalau tak berapa ikhlas nak kasi budak kecik makan.
- Serbuk Kari Masak Merah Cap O 25g. Ini rempah dia ada macam manis sikit.
Ada orang tanya macamana nak buat kari macam mamak. Ini lah dia, rempah India campur Melayu. Serbuk kari tersebut saya campurkan sekali dalam bekas, tambahkan air sampai dia jadi pes. Aduk sampai sebati.
Cara Memasak:
1. Gaulkan ayam dengan sedikit serbuk rempah kari. Gaul gaul gedik sahaja. Setakat ada warna kuning sikit sikit. Saya suka ayam yang dipotong kecik kecil macam ayam goreng ‘catwalk’. Cepat masak dan lebih terasa.
2. Panaskan minyak masak. Tak perlu banyak, sekadar separuh ketinggian potongan ayam tu. Goreng sekejap ayam yang kita dah perap tadi sampai hilang warna pucat ayam mentah. Ala macam kita goreng sekejap ayam sebelum kita buat masak merah tu.
3. Jangan lama sangat nanti air ayam dia kering. Dan rempah kari kurang meresap bila kita masukkan dalam kuah nanti. Kelebihan lain masak sekejap dan potong kecil kecil adalah supaya bahagian isi dia tak mengembang dan tawar kalau masak lama-lama. Ayam kemudian kita angkat. Asingkan ke satu tempat.
4. Minyak goreng ayam tadi kita guna untuk tumis pula. Jimat bekas, jimat minyak, rasa ayam bila kita goreng tadi tak lari kemana. Tumis sampai kekuningan. Lepas itu boleh masukkan 1 sudu cili kisar. Cili kisar akan bagi rasa melayu sikit pada rasa kari.
5. Masukkan pes serbuk kari kacukan mamak yang kita dah jadikan pes sikit tadi. Proses tumis dari masukkan bawang sampai masukkan pes kari ini, api kena besar. Perlahan sedikit api bila bunyi desiran pes kari ini mulai hilang. Masa ni perlahankan api sekejap untuk bagi rempah pecah minyak.
Tips untuk memudahkan pecah minyak adalah kita gunakan minyak yang banyak. Jangan risau, minyak yang terlebih boleh dikeluarkan sebelum makan nanti.
6. Lepas pecah minyak sikit, (tak lama pun, dalam 3 minit lepas kita masukkan pes kari tadi) masukkan ayam yang kita dah goreng sedikit tadi. Tambahkan air, jangan banyak sangat, sampai ngam-ngam tenggelam potongan ayam tadi. Masukkan tomato, serai, dan kentang (saya dah rebus siap-siap) dan biarkan masak dalam api sederhana besar.
7. Aduk-aduk bila perlu. Bila kuah dah sebati, tambahkan garam dan gula (saya pakai gila melaka) mengikut citarasa masing masing. Kalau ada sakit kronik jangan sampai lupa diri. Pandai-pandailah. Siap untuk dihidangkan.
Untuk sarapan pagi saya hanya perlu beli roti. Untuk tengahari boleh masak nasi nanti nanti. Kalau kena panaskan tengahari pun, kuah kari makin lama makin sedap.
Sumber: Khabbab Jamalludin

